Monday, January 4, 2021

PERPADUAN KAUM DI MALAYSIA


APA ITU PERPADUAN?

Perpaduan ialah penyatuan, dan darjah serta jenis penyatuan yang dipamerkan sesebuah masyarakat ataupun kumoulan dan jiran mereka. Antaranya merujuk kepada semua perhubungan sosial yang mengaitkan manusia. Istilah ini lazimnya digunakan dalam bidang sosiologi ataupun sains kemasyarakatan.
 



Asas perpaduan bagi sesuatu masyarakat berbeza. Dalam masyarakat ringkas atau biasa ia mungkin berdasarkan hubungan kekeluargaan dan nilai saling menghormati dan menyayangi. Bagi masyarakat yang lebih kompleks pula, terdapat beberapa teori berkaitan faktor yang menyumbang kepada perpaduan sosial ataupun masyarakat.

Kepentingan Perpaduan Kaum di Malaysia

Perpaduan antara rakyat Malaysia merupakan satu keistimewaan yang memainkan peranan penting demi mencapai status negara maju menjelang tahun 2020. Banyak negara di dunia mencontohi Malaysia sebagai negara yang berbilang bangsa, agama dan budaya kerana keharmonian dan kemakmuran antara kaum serta budaya menjadi pegangan kepada pandangan positif rakyat antarabangsa terhadap Malaysia.


Menurut titah Sultan Johor, Sultan Ibrahim ibni Almarhum Sultan Iskandar, semangat perpaduan perlu dipupuk di dalam setiap rakyat Malaysia dari bangku sekolah lagi seiring dengan mengukuhkan semangat jati diri, di samping memberi keutamaan kepada mata pelajaran Sejarah dan menjadikan sistem pendidikan sebagai medium mustahak untuk mengkekalkan perpaduan kaum. Melalui penghayatan perpaduan serta sejarah negara, diharap akan lahirnya generasi muda yang akan bertindak sebagai wargangara yang matang lagi bertanggungjawab.

Selain itu, kepelbagaian agama di Malaysia juga perlu diberi keutamaan demi mengekalkan kukuhan perpaduan antara kaum dengan mengamalkan semangat perkongsian, saling menghormati dan menanam sikap toleransi sesama rakyat Malaysia. Dengan itu, masyarakat akan lebih terbuka untuk mengenali dan memahami kepelbagaian agama di negara ini demi menguatkan lagi kesefahaman antara kaum dan agama.

Tambahan pula, sambutan pelbagai hari perayaan seperti Hari Raya Aidilfitri, Tahun Baru Cina, Deepavali, Krismas, Hari Gawai dan Kaamatan boleh dijadikan platform untuk mengenali budaya dan adat resam sesama masyarakat sambil memperbaharui ikatan persahabatan. Keharmonian demi kesatuan ini juga merupakan keunikan yang bukan sahaja memperteguhkan lagi perpaduan antara kaum, malah menjadi penanda aras bagi Malaysia dalam mencapai matlamat sebagai negara yang aman dan harmoni. Misalnya, rumah terbuka bagi setiap satu perayaan diadakan untuk meraikan perpaduan kaum yang memupuk amalan ziarah-menziarahi, saling menolong dan semangat kejiranan sebagai budaya harian kita.



Perpaduan kaum juga memainkan peranan dalam mengukuhkan lagi ekonomi negara dengan penglibatan semua kaum dalam kegiatan ekonomi. Misalnya, Dasar Ekonomi Baru yang dilancarkan pada tahun 1970 oleh Tun Abdul Razak, adalah bertujuan untuk menyusun semula ketidakseimbangan sosio-ekonomi yang wujud di negara ini. Pelancaran dasar ekonomi tersebut memastikan bahawa taraf hidup masyarakat dapat ditinggikan dalam usaha untuk mencapai kemajuan dalam pembangunan negara. Jurang perbezaan akan terhapus dalam fungsi ekonomi mengikut kaum dan lahirnya perpaduan ekonomi di kalangan rakyat, sambil meningkatkan lagi taraf pembangunan ekonomi negara.

Secara keseluruhan, perpaduan kaum merupakan antara faktor terpenting dalam mengekalkan keharmonian masyarakat berbilang kaum dan agama. Sekiranya kita berpecah atau bertelingkah antara satu sama lain, negara yang aman dan harmoni ini akan menjadi mundur dan pertikaian akan menyebabkan ketidakstabilan ekonomi yang menjejaskan pembangunan negara. Masyarakat Malaysia perlu menjadi penggerak utama dalam memupuk dan mengekalkan perpaduan antara kaum dalam usaha untuk mencapai matlamat ke arah status negara maju serta memastikan pembangunan ekonomi negara yang stabil dan konsisten.



Usaha- usaha Untuk Memupuk Perpaduan Kaum di Malaysia


Dalam menjalani kehidupan arus pemodenan, usaha yang lebih efisen haruslah dilakukan demi membentuk perpaduan kaum di Malaysia. Pihak kerajaan mahupun rakyat juga mempunyai peranan masing-masing di dalam merealisasikan perpaduan kaum. Usaha kerajaan dengan mengadakan Majlis Terbuka peringkat kebangsaan untuk menyambut perayaan kaum utama Malaysia adalah salah satu tindakan yang amat dialu-alukan. Menurut mantan Perdana Menteri Malaysia sebelum ini, konsep " 1 Malaysia " dapat dijayakan melalui majlis-majlis sebegini.

Menganjurkan Majlis Rumah Terbuka.

Semasa kerajaan mengadakan majlis rumah terbuka, seluruh rakyat negara Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum memberi komitmen yang tinggi. Mereka menghadirkan diri dan berhubung dengan satu sama lain dengan masyarakat yang terdiri daripada pelbagai kaum dan latar belakang. Interaksi antara kaum dalam majlis sebegini dapat memperkasakan hubungan antara kaum di Malaysia. Kemajuan negara kita begantung kepada perpaduan kaum seperti kata pepatah "bersatu teguh, bercerai roboh". Perpaduan kaum juga dapat dipupuk melalui aktiviti-aktiviti yang dijalankan.


Cara ini dapat memupuk semangat kerjasama dan saling bantu-membantu antara satu sama lain di dalam masyrakat Malaysia. Keharmonian seperti ini mudah terhapus melalui sikap mementingkan diri sendiri yang dilihat kian tertanam di dalam jiwa masyarakat. Namun demikian, sikap negatif inilah yang ada di dalam masyarakat terutamanya yang duduk du bandar. Mereka ini yang hanta melakukan kerja sendiri tanpa mengendahkan persekitaran mereka. Ini menyebabkan usaha di dalam memupuk semangat perpaduan sukar untuk dipraktikkan dan diterapkan di dalam diri masing-masing. Aktiviti-aktiviti yang boleh memperteguhkan jalinan kemesraan sesama kita harus diadakan seperti bergotong- royong yang memerlukan setiap kejasama rakyat Malaysia. 


Dengan menganjurkan program-program yang bermanfaat sesama masyarakat, semangat muhibah antara kaum yang berbeza di Malaysia dapat disemarakkan. Inisiatif tabungan kawasan setempat juga boleh diperkenalkan bagi memudahkan program ini dijalankan. Antara agenda program tersebut dijalankan adalah bertujuan:-

  • Membendung sikap diskriminasi anatara kaum dan mewujudkan nilai keakraban di dalam masyarakat yang pelbagai kaum.
  • Pelbagai lapisan masyarakat yang hadir dapat berkomunikasi serta bertukar-tukar pendapat dan idea-idea berkaitan dengan sesuatu isu semasa mahupun global atau hal kemasyarakatan.

Contoh-contoh program yang boleh dijalankan adalah seperti:-

  • Sambutan Hari Keluarga
  • Sambutan Hari Ibu
  • Sambutan Hari Bapa
  • Sambutan Hari Perayaan

Jelaslah bahawa usaha-usaha dalam membentuk perpaduan kaum di Malaysia boleh direalisasikan dengan pelbagai program yang boleh dilaksanakan oleh kerajaan dan masyarakat setempat yang berpotensi untuk memperkasakan hubungan antara kaum di negara kita ini.

Melaksanakan sekolah wawasan

Sehubungan dengan itu, sistem pendidikan merupakan satu jalan komunikasi yang mudah untuk merealisasikan hasrat ini. Dengan pengenalan satu sistem pendidikan yang sama oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), ianya telah mewujudkan perpaduan kaum secara tidak langsung. Selain itu, terdapat sekolah wawasan yang menempatkan tiga jenis sekolah iaitu:-

  1. Sekolah Kebangsaan
  2. Sekolah Jenis Kebangsaan Cina
  3. Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil


Melalui pelaksanaan sekolah wawasan ini, ianya juga dapat mempercepatkan proses perpaduan kaum. Sebagai contoh:-

  • Aktiviti berkumpulan sekolah yang dijalankan secara teratur bersama murid-murid dapat memperkasa hubungan kaum di peringkat antara sekolah.
  • Penggunaan serta penerapan bahasa rasmi negara kita iaitu bahasa Malaysia sebagai bahasa perantaraan di sekolah-sekolah kebangsaan turut membolehkan pelbagai kaum berinteraksi antara satu sama lain.

Sewajarnya, memang tidak boleh kita nafikan bahawa sistem pendidikan negara kita merupakan pemangkin dalam proses memperkasa hubungan sesama kaum. Dari perspektif yang lain, penerapan nilai-nilai budaya dan warisan juga merupakan salah satu langkah dalam mendekati matlamat dan harapan para pemimpin kita untuk mencapai perpaduan kaum.

Penerapan nilai-nilai budaya dan warisan dalam aktiviti harian

Negara kita terdiri daripada pelbagai kaum seperti Melayu, Cina dan India yang merupakan kaum utama di Malaysia. Dengan itu, rakyat boleh mengaplikasikan dan berkongsi budaya kaum mereka itu sendiri dengan kaum lain dari aspek seperti:-

  1. Pemakanan
  2. Pemakaian
  3. Peradaban


Sebagai contoh yang kita boleh lihat telah pun dijalankan oleh rakyat Malaysia antaranya adalah seperti:-

  1. Semakin ramai wanita bukan Melayu yang memakai baju tradisional orang Melayu iaitu baju kurung ke majlis-majlis mahupun ke kuliah di universiti.
  2. Makanan India seperti roti canai dan tosei juga semakin diminati oleh kaum-kaum yang lain.
  3. Memperkenalkan adab-adab orang Melayu kepada kaum Cina dan India atau sebaliknya di antara kaum-kaum tersebut iaitu dengan lebih jelas melalui perkongsian peradaban di sambutan hari perayaan kaum masing-masing.

Oleh itu, penerapan nilai-nilai budaya dan warisan berbilang kaum ini dapat menimbulkan rasa hormat antara satu sama lain dan seterusnya mengeratkan lagi perpaduan kaum dalam negara.

Program Kenegaraan seperti Program Latihan Khidmat Negara (PLKN)

Jika perkara ini diteliti dengan lebih lanjut, sebelum ini kerajaan telah mewajibkan remaja yang berumur 17 tahun ke atas untuk menyertai Program Latihan Khidmat Negara (PLKN). Modul kenegaraan PLKN sememangnya bertujuan untuk melahirkan semangat perpaduan dalam sanubari remaja daripada masyarakat majmuk yang bakal menjadi pemimpin negara satu masa nanti. Selaras dengan modul kenegaraan yang dijalankan, para remaja berbilang kaum berpeluang untuk bekerjasama dalam pelbagai aktiviti seperti peribahasa “bagai aur dengan tebing”. Justeru, perpaduan dapat disemai melalui aktiviti-aktiviti berkumpulan tersebut. Sememangnya, tidak dapat disangkal lagi bahawa PLKN turut memainkan peranan dominan dalam iltizam membentuk perpaduan kaum.

Sebagai konklusinya, dapatlah disimpulkan bahawa keamanan dan kemakmuran sesebuah negara perlulah bergantung kepada perpaduan kaum seluruh rakyatnya. Pelbagai pihak harus bergerak sekali seia sekata bersama iltizam mencapai hasrat keharmonian dan perpaduan negara seperti kata pepatah “bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat”. Perpaduan kaum merupakan suatu misi yang amat penting agar Malaysia dapat mengorak langkah menuju ke arah pembentukan negara bangsa dan menjadi sebuah negara yang mampu berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dengan negara-negara maju yang lain. Oleh yang demikian, rakyat itu sendiri adalah aset negara yang paling penting lagi bernilai dalam pembinaan negara yang berbilang kaum demi visi ke arah Wawasan 2020.


Mari kita saksikan experimen sosial rakyat Malaysia !






 

6 comments:

PERPADUAN KAUM DI MALAYSIA

APA ITU PERPADUAN? Perpaduan ialah penyatuan, dan darjah serta jenis penyatuan yang dipamerkan sesebuah masyarakat ataupun kumoulan dan jira...